Gunung Rinjani, Lombok Indonesia




Salam rekreasi..

Entri kali ini kaki sondol ingin berkongsi pengalaman ekspedisi pendakian Gunung Rinjani yang terletak di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia.



Gunung Rinjani merupakan dari kategori gunung berapi yang masih aktif dan gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia. Mempunyai ketinggian 3,726 meter di atas permukaan laut dan mempunyai keunikan dan keindahan dari satu sisi yang lain berbanding gunung - gunung di Malaysia membuatkan antara destinasi pendakian yang popular bukan sahaja di kalangan pendaki Malaysia malah seluruh dunia.



Gunung ini boleh didaki dengan melalui laluan trek Sembalun dan laluan trek Senaru yang mana kedua - duanya mempunyai lanskap hutan dan pendakian yang berbeza. Kawah gunung berapinya yang terbentuk secara semulajadi dan menjadi satu lanskap tasik yang indah yang juga dikenali sebagai Danau Segara Anak. Di tasik itu juga terbentuk satu gunung yang dikenali dengan nama Gunung Baru atau Gunung Barujari selepas kejadian letusan yang berlaku pada tahun 2009.



Kaki sondol memulakan pendakian melalui laluan trek Sembalun yang lanskap hutan nya berumput lalang hutan savana. Permulaan pendakian tidak begitu sukar sehinggalah di checkpoint terakhir sebelum tiba kem pelawangan. Angin dan sejuk agak menyukar pendaki sekiranya tiada persediaan rapi. Melabuh punggung di kem pelawangan untuk bermalam dengan pemandangan indah memang mengasyikkan. Cuma bagi yang tidak tahan dengan cuaca sejuk, ia mungkin memeritkan sedikit. 



Setelah makan, berehat dan dinasihatkan tidur awal, kaki sondol bangun pada jam 1 pagi untuk memulakan pendakian menawan puncak Rinjani. Pada tahap ini lah kecergasan badan dan ketahanan mental mula teruji. Permukaan gunung yang berbatu pasir gunung berapi benar - benar menguji ketahanan fizikal dan mental. Setiap langkah mendaki yang di susun pasti disusuli dengan sedikit gelongsoran ke belakang yang memakan masa dan tenaga.



Pendakian pada waktu gelap sedikit sebanyak membantu pendaki menyusuri pendakian ke puncak. Jarak ke puncak tidaklah begitu jauh tapi keadaan permukaan mendaki memang menelan waktu dan keringat setiap pendaki. Setelah hampir 6 jam bergelut dengan pendakian, akhirnya puncak Rinjani berjaya ditawan.



Menghabiskan masa hampir 3 jam di puncak menikmati panorama dan keasyikan indahnya ciptaan Tuhan, kaki sondol di nasihatkan oleh pemandu arah untuk turun semula ke kem pelawangan kerana dikhuatiri awan dan kabus tebal menutupi  laluan trek dengan tahap penglihatan sangat minima.



Setelah turun ke kem pelawangan, kaki sondol terus berkemas dan memulakan perjalanan ke destinasi kedua iaitu Danau Segara Anak. Hujan yang turun secara tiba - tiba menyukarkan perjalanan kerana trek bongkah batu di sepanjang laluan agak licin. Setelah tiba di Danau Segara Anak, khemah di pasang dan aktiviti bebas pun bermula. Ada yang memancing, ada yang berenang, ada yang berendam air panas hasil tindakan sulfur yang tinggi di kawasan itu.



Keesokan harinya ekspedisi diteruskan dengan mendaki semula untuk kami keluar melalui laluan trek Senaru. Lanskap hutan dikawasan sudah berubah tidak jauh beza dengan hutan di Malaysia. Hutan tebal dan pokok tinggi di sepanjang trek berbeza dengan keadaan laluan trek Sembalun. Tiba di last check point kami bermalam di situ sebelum menyambung ekspedisi keesokkan hari nya untuk keluar dan tiba di Senaru.     








































Comments

Popular posts from this blog

6 jenis makanan sesuai untuk mendaki

Gunung Yong Yap, Gunung Bubu & Gunung Tok Nenek - YYBTN Reverse Trans

11 Tips Keselamatan Pendakian Gunung