Jom kenali Gunung G7



Salam kerinduan gunung dari kaki sondol.
Seperti yang kaki sondol pernah janji kan dalam perkongsian Gunung Yong Belar sebelum ini. Entri kali ini kaki sondol ingin berkongsi tentang Gunung G7 yang menjadi topik perbualan pendaki - pendaki di Malaysia.

Bagi pendaki yang hardcore, istilah “G7” adalah satu terma yang cukup sinonim dan membawa maksud tersendiri kepada setiap pendaki. G7 merujuk kepada Tujuh Gunung Tertinggi di Semenanjung Malaysia yang melebihi 7,000 kaki dari aras laut. Kejayaan menawan setiap puncak di G7 adalah satu kepuasan yang tidak ternilai kepada para pendaki sejati. Jom kita kenali dengan ringkas tentang G7 di Semenanjung Malaysia!











14910370_1415760048451981_8575180541819543622_n
1. GUNUNG TAHAN, PAHANG
Gunung Tahan dengan ketinggian 2,186 meter adalah puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia. Terletak di Taman Negara, Pahang, Tahan menjadi titik sempadan di antara negeri Pahang dan Kelantan. Walaupun ketinggiannya adalah rendah berbanding Gunung Kinabalu tetapi tahap kesukaran dan cabaran yang perlu dilalui pendaki untuk sampai ke puncak Tahan adalah jauh lebih mencabar. Lazimnya, laluan ke puncak Tahan serta anggaran tempoh hari pendakian berdasarkan kapasiti pendaki adalah seperti berikut:
• Merapoh – Gunung Tahan – Kuala Tahan (5-7 hari)
• Kuala Tahan – Gunung Tahan – Merapoh (5-7 hari)
• Merapoh – Gunung Tahan – Merapoh (4-5 hari)
• Kuala Tahan – Gunung Tahan – Kuala Tahan (4-5 hari)


14925451_1415760108451975_8507576864715071884_n
2. GUNUNG KORBU, PERAK
Dengan ketinggian 2,183 meter Gunung Korbu merupakan puncak tertinggi Banjaran Titiwangsa dan kedua tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu hanya kurang tiga meter berbanding Gunung Tahan. Pendakian Korbu boleh diakses daripada Tanjung Rambutan (anggaran 2-3 hari ke puncak) atau bermula dari Tanah Rata, Cameron Highland, Pahang di mana perjalanannya adalah lebih mencabar. Di puncak Korbu akan kelihatan jelas pemandangan Bandaraya Ipoh, Lembah Kinta, Selat Melaka, Taiping, Pulau Pinang, Gunung Gayong, Gunung Yong Belar, Gunung Yong Yap serta Gunung Brinchang. Ramai pendaki akan membuat ekspedisi pendakian lebih ekstrem dikenali sebagai Trans Titiwangsa V1 bermula dari puncak Gunung Korbu terus ke Gunung Gayong seterusnya ke Gunung Yong Belar kemudian berakhir di Cameron Highland. Ekspedisi berkenaan mengambil masa selama 5 hingga ke 7 hari. Selain itu, pendaki juga boleh meneruskan perjalanan melalui rentas hutan ini untuk ke Gunung Yong Yap, Gunung Chamah dan Gunung Ulu Sepat yang memakan masa lebih 21 hari.


yong
3. GUNUNG YONG BELAR, PAHANG
Gunung Yong Belar setinggi 2,181 meter bersempadan di antara negeri Perak-Pahang-Kelantan atau secara spesifiknya di Cameron Highland. Bagi yang pernah mendaki Gunung Irau, apa kata anda jadikan Gunung Yong Belar sebagai sasaran pendakian anda yang seterusnya kerana ini adalah gunung ketiga tertinggi di Semenanjung Malaysia. Pendakian ke puncak sejauh 20 kilometer akan memakan masa selama 2 hari 1 malam.


gayong
4. GUNUNG GAYONG, PERAK
Gunung Gayong pula mempunyai ketinggian 7,129 kaki dari paras laut bersamaan 2,173 meter. Gayong merupakan gunung keempat tertinggi di Semenanjung Malaysia dan terletak bersebelahan dengan Gunung Korbu di Perak. Lazimnya pendaki akan melalui puncak Korbu dan Gayong dalam satu ekspedisi. Ini kerana puncaknya bersebelahan dan hanya mengambil masa anggaran 2 ke 3 jam dengan merentasi permatang dari Korbu ke Gayong. Sinonim dengan gelaran KORGA iaitu Korbu dan Gayong, kedua-dua gunung ini semakin menjadi kegilaan ramai pendaki.


14991952_1415766241784695_7024100350524316456_n
5. GUNUNG CHAMAH, KELANTAN

Gunung Chamah terletak di Hutan Belum, Kelantan dengan ketinggian 2,171 meter. Secara geografinya, Chamah adalah sebahagian daripada koridor di antara ‘Lower Belum’ di Negeri Perak dan Lembah Nenggiri di Negeri Kelantan. Ini merupakan kawasan yang masih diliputi hutan dan belum terusik. Trek mendaki gunung terpencil ini adalah antara yang paling sukar dan amat menguji ketahanan fizikal dan mental para pendaki. Maka tidak hairanlah ia merupakan salah satu gunung yang jarang dikunjungi dan diterokai. Setakat ini kawasan ini masih belum diwartakan sebagai Taman Negeri atau Taman Hidupan Liar. Oleh itu adalah sangat mustahak gunung ini dan persekitarannya diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal terlebih dahulu dan kemudian diwartakan untuk fungsi hutan perlindungan di bawah kelas Taman Negeri di bawah Seksyen 10(1) Enakmen Perhutanan Negara 1985.




14906817_1415766378451348_6594100539222805100_n

6. GUNUNG YONG YAP, PERAK

Gunung Yong Yap dengan ketinggian 2,168 meter adalah gunung keenam tertinggi di Semenanjung Malaysia. Permulaaan trek pendakian ke gunung ini perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke Kampung Regil dan seterusnya ke Kem Agas. Gunung ini juga boleh dikategorikan sebagai salah satu gunung yang mampu mencabar ketahanan fizikal dan mental para pendaki. Anggaran jarak trek ke puncak adalah sejauh 18 kilometer. Untuk satu kilometer terakhir ke arah puncak gunung, pendaki akan menikmati keindahan struktur semulajadi hutan berlumut yang sememangnya akan memberi kepuasan yang berbaloi setelah mengharungi pendakian yang mencabar sepanjang hari.



14980613_1415766441784675_1052238265695916506_n
7. GUNUNG ULU SEPAT, PERAK
Gunung Ulu Sepat terletak di Tasik Temenggor, Perak. Walaupun berkedudukan tempat ketujuh dengan ketinggian 2,161 meter, gunung ini turut dilabelkan oleh para pendaki sebagai salah satu gunung yang mempunyai trek yang sukar dan mencabar. Lazimnya, para pendaki akan ke puncak Gunung Ulu Sepat menerusi ekspedisi Gunung Chamah-Ulu Sepat atau dikenali sebagai “CUS”. Ekspedisi CUS yang memakan masa enam ke tujuh hari pasti akan menjanjikan pengalaman yang tersendiri kepada kaki gunung untuk melengkapkan G7.

Comments

Popular posts from this blog

6 jenis makanan sesuai untuk mendaki

Gunung Yong Yap, Gunung Bubu & Gunung Tok Nenek - YYBTN Reverse Trans

11 Tips Keselamatan Pendakian Gunung